Langsung dari Makmal Komputer Enam, Kolej Matrikulasi Selangor.
Kadang kala aku berharap aku dapat menjadi orang lain.
Orang lain yang bisa meluahkan rasa amarah tanpa memikirkan perasaan orang lain. Tanpa memikirkan kesan dalam jangka masa panjang. Paling bertuah bila orang sekeliling mampu terima kau seadanya. Hargailah. Kerna orang yang menerima itu sememangnya hatinya terasa tapi didiamkan.
Sedarkah kita?
Aku tak mampu untuk meluahkan segalanya. Bencinya aku pada diri ini kerana hanya mampu menangis. Tangisan yang dibawa seiring dengan kekecewaan dan harapan untuk mendapat segala sinar yang lebih terang, lebih baik. Tapi penantian tidak selalu dianugerahkan dengan sesuatu yang diinginkan. Tajamnya tusukan, dalamnya luka dan engkau sahaja yang boleh merawat dan membersihkan segala darah yang menitis. Sakit. Sakit yang tidak berpenghujung, mungkin mati di akhir jalan.
Aku baru sahaja mendapat empat baucar buku pemberian dari pihak kerajaan. Syukur dan terima kasih aku ucapkan. Namu begitu, masih ada yang berpaksikan pada tunggak politik walhal suara anak cilik seperti kita ini tidak memberi kesan yang sedikit pun pada pergolakan kredibiliti orang atasan. Siapalah kita hendak mempersoalkan kejahilan para menteri, siapalah kita untuk menentukan kebenaran dan kesalahan para pejuang.
Umur masih mentah, malah angka 19 masih dalam tatihan. Layakkah kita untuk berbicara isu yang sensitif yakni besar seperti politik? Tidak perlu rasanya kita mencanang segala dakyah untuk menyokong parti kerajaan atau parti pembangkang. Pelik aku perhatikan trend semasa budak kolej aku sendiri, sibuk mengatakan yang Barisan Nasional adalah sebagai suatu unsur yang jahat dan Anwar Ibrahim berada di pihak kebenaran dan tergolong dalam golongan yang teraniaya.
Puihhh, dalam ke ilmu kau untuk menilai?
Kalau kau berasa kau berada dalam keadilan, adakah kau menyokong kerana keluarga kau? Kerna keluarga kau menyuap setiap hasutan dalam diri kau sejak dari mula dan kerna itu, kau terpengaruh? Ada kemungkinan dan jangan kau sombong untuk menidakkan. Daripada kita bertelagah mengaut undian sedangkan kita masih belum berdaftar, lebih baik kita berbincang mengenai hukum Islam yang patut dilaksanakan di Malaysia.
Sering kali Ustaz berbicara mengenai hukum hudud dalam kelas Pendidikan Agama. Bukan sahaja aku terperap dalam kolej ini selama berbulan sudah, tapi minda dan pemikiran aku juga sudah tertutup kerana kurang membaca. Sumber bacaan dalam skop berita amat terhad untuk aku peroleh di sini. Jadi, hanya mampu mendengar dari orang orang yang dipercayai. Hanya mendengar, bukan percaya.
Apa yang mampu anak bangsa lakukan hanyalah berdoa. Berdoa untuk segala kebaikan agama dan bangsa. Jangan sesekali riak dan bercakap besar kerna takut termakan diri di kemudian hari. Berpeganglah kepada keimanan dan peliharalah hati dalam kesucian kerana sesungguhnya anasir luar sangat teruja untuk menyerap masuk dalam setiap manusia yang lemah.
Biar kita lemah, asal kita ada pendirian. Insyaallah.
No comments:
Post a Comment