Sunday, January 8

Renungan lebih tajam dari pandangan


Gambar sekadar hiasan. Menunjukkan satu perilaku mata yang menawan. Tajam jauh merenung.

Keinginan nak update belog, tinggi. Tapi tak mampu menaip. Senyap terpaku memandang skrin dalam keadaaan statik untuk beberapa minit. Apa saja yang aku nak membebel kala bulan penuh menjelma dan jarum jam hampir bergerak ke nombor dua.

Pukul 2 pagi sudah.

Semua manusia yang wujud dalam bilik nyenyak melelapkan mata manakala aku duduk di lantai, bertemankan kotak monitor di atas katil. Berseorangan dan terasa sunyinya, tanpa sedikit pun iringan muzik untuk menceriakan hati. Yang kedengaran, hanyalah bunyi kipas yang laju kelajuannya, berpusing tanpa had. Menyebarkan angin angin sepoi bahasa.

Menghabiskan malam minggu aku di sini, di kolej yang semenggah dengan pelajar pelajarnya yang mempunyai wang berkepuk kepuk dalam akaun bank. Bukan bersikap sinis, cuma sudah menjadi teladan. Yang kaya bertepuk tampar dengan yang kaya, yang biasa beramah mesra dengan yang biasa. Wujud satu jurang yang amat jauh kalau yang kaya bersahabat dengan yang biasa. Lebih atau tidak, satu belah pihak mesti terasa hatinya kalau dibanding-bandingkan dari segi nilai harta benda. Aku sendiri tak faham kenapa manusia ralat menghabiskan duit, untuk membeli perkara yang tidak perlu.

Sedangkan aku dibelenggu seribu satu rasa bersalah dalam lubuk fikiran untuk meminta wang tambahan, walaupun tujuannya untuk membeli buku rujukan. Sememangnya harus diakui wang saku yang diberi pihak kerajaan tidak cukup untuk menampung perbelanjaannya selama sebulan. Sudah berjimat cermat hingga sanggup menyekat nafsu makan, tapi masih tidak mencukupi. Mungkin kerna aku bukan orang kaya? Mungkin kerna aku tidak mempunyai wang yang beribu ribu dalam akaun bank? Mungkin kerna aku sendiri yang tidak pandai merancang bajet kehidupan.

Nada berbunyi adanya sifat cemburu. Ya, memang aku tidak mampu menafikan yang aku sebenarnya cemburu dengan mereka. Mereka yang boleh memperoleh apa sahaja yang mereka inginkan, dengan hanya meminta. Meminta kepada ibu bapa ataupun meminta kepada teman lelaki? Teman lelaki bukan sekadar untuk meneman si gadis yang kesepian tapi juga bertindak sebagai seseorang yang boleh diharapkan untuk merealisasikan impian selain daripada orang tua kita sendiri. Bukan begitu?

Sudah menjadi lazim dalam kehidupan apabila lelaki membelanjakan apa apa untuk si gadis. Walhal tidak pernahkah mereka terfikir, yang kekayaan yang dibanggakan itu hanyalah kekayaan ibu bapa mereka? Ibu bapa mereka yang bekerja, ibu bapa mereka yang mencari wang saku, bukan budak budak mentah itu sendiri yang mencari segala kemewahan. Salah tanggapannya. Namun masih ada sesetengah pihak yang langsung tidak tahu mengucapkan kata kata syukur. Hanya tahu mengaku diri mereka miskin dan hina. Kalau kamu yang memiliki telefon canggih i-phone dan tinggal di sebuah kediaman yang tinggi persaingannya berkata kamu adalah miskin dan hina, habis yang kami ini apa? Papa kedana?

Cakap jangan sebarang cakap. Walau sekalipun tidak mahu riak dengan kekayaaan, cukuplah sekadar berbuat baik pada kawan kawan. Rendahkan diri serendah rendahnya. Bait kata kata disusun baik dan yang paling penting, sentiasa berterima kasih. Untunglah kamu yang kaya, alhamdulillah kami yang biasa. Sesungguhnya kekayaan masih bukan milik kami. Allah mengurniakan segala apa yang terbaik untuk hamba hambanya dan kami redha dengan segalanya. Redha bukan sesekali bermaksud mengaku dan terima, tapi juga membawa istilah berusaha hingga akhirnya dan menerima segala habuannya, insyaallah.

Apa guna cerdik akal kalau tak bijak berkata kata?

No comments: